Tuesday 25 October 2011

Chen Long pencabar Chong Wei


JIKA sebelum ini Tey Seu Bock menegaskan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei cukup bersedia untuk saingan jelajah Eropah, jurulatih itu kini nampaknya menukar fikiran selepas pemain kendaliannya itu tewas lagi di tangan perseorangan kedua China, Chen Long.
Ketika masa semakin suntuk bagi persiapan pemain negara memastikan misi emas Sukan Olimpik berada di landasan terbaik, kem badminton negara pula kelihatan agak goyah.

Isu prestasi Chong Wei pasti merumitkan meskipun pemain itu masih mengekalkan momentum mara ke final di setiap kejohanan yang disertainya.
Tambahan pula prestasi beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang terus merudum meskipun bertukar jurulatih.

Seu Bock berkata, Chong Wei tertekan pada perlawanan itu dan mengaku prestasi pemain berusia 29 tahun itu agak merosot.

“Nampaknya Chong Wei bermain dalam keadaan tertekan seperti di Jepun,” kata Seu Bock selepas kekalahan Chong Wei kepada Chen Long 15-21, 18-21.
“Chen Long dapat membaca setiap gerakan Chong Wei dan saya tidak nafikan prestasinya menurun.
Namun kenyataan Seu Bock mengenai prestasi Chong Wei yang menurun boleh dikatakan bercanggah dengan polisi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang selama ini kerap melaungkan proses periodisasi yang dirancang Pengarah Prestasi Tinggi Datuk James Selvaraj, iaitu hanya menghantar pemain ke kejohanan tertentu dengan sasaran pemain itu mencapai kemuncak prestasi.

Adakah James tersalah rancang atau tidak wujud lagi terma kerja periodisasi atau juga jurulatih tidak lagi berkomunikasi menghantar laporan prestasi kepada James? Apapun Seu Bock perlu bekerja keras seperti yang diakui beliau sendiri perlu membaiki semula kekurangan Chong Wei demi memastikan Program Road to London tidak tersasar seperti di Beijing 2008.

Chong Wei akan ke Perancis untuk saingan Siri Super Terbuka Perancis minggu ini dan dijangka berdepan Chen Long sekali lagi tetapi kali ini di peringkat separuh akhir. Semoga sedikit sentuhan perubahan yang dilakukan Seu Bock akan berjaya membangkitkan semula Chong Wei daripada igauan kekalahan.

No comments:

Post a Comment