Thursday 19 April 2012

Gelaran makin hampir

LONDON: Manchester United semakin menghampiri kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali kelima dalam enam musim terakhir apabila hanya memerlukan dua lagi kemenangan bagi melengkapkan rekod itu.
Mengikut perkiraan, skuad kendalian Alex Ferguson hanya perlu menewaskan Everton di laman sendiri Ahad ini dan kemudian mengatasi musuh setempat, Manchester City pada 30 April bagi mengekalkan trofi Liga Perdana dalam kabinet di Old Trafford.

Dengan baki empat perlawanan, United kini mengumpul 82 mata, lima mata mengatasi City (77) yang akan turun menentang pasukan tercorot liga, Wolverhampton Wanderers.
City tampak tidak berdepan masalah untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan itu bagi terus bertahan memberikan tentangan sekurang-kurangnya untuk satu minggu lagi sebelum membuat perhitungan di gelanggang sendiri menentang United.

Pengurus City, Roberto Mancini menyatakan peluang pasukannya merangkul gelaran pertama Liga Perdana sejak 1968 sudah terkubur namun Ferguson meramalkan perebutan masih terbuka selepas membelasah Aston Villa minggu lalu dengan berkata “selalunya pasti akan ada yang boleh mengecewakan anda.” Ashley Young berkata, United masih ada tugas yang belum selesai selepas merampas kedudukan pendahulu daripada City awal bulan lalu.

“Kedudukan liga sentiasa berubah musim ini namun kami berjaya menghuni kedudukan yang baik. Yang penting kami perlu menyelesaikan tugas ini sekarang,” kata Young.

“Kami tidak pernah ketinggalan daripada persaingan namun untuk berada di kedudukan sekarang adalah sesuatu yang hebat. Banyak pihak meragui kemampuan kami apabila City memiliki kelebihan beberapa mata dan jaringan namun kami berjaya melaksanakan tugas dengan baik dan semua pemain memberikan sumbangan.

“Kami melakukan sama seperti pasukan United sebelum ini dan tampil lebih hebat pada babak kedua musim.” City mencatat kemenangan besar ke atas West Brom dan Norwich dengan menghasilkan 10 gol memberikan petanda betapa mereka masih belum mahu menyerah kalah.
Gandingan penyerang Carlos Tevez dan Sergio Aguero pastinya sekali lagi menjadi pertaruhan City apabila berdepan Wolves yang kini ketinggalan lapan mata daripada zon selamat.

Saingan merebut tempat ke saingan Liga Juara-Juara menyertai dua kelab Manchester itu juga semakin sengit.

Arsenal (64 mata selepas 34 perlawanan) masih kukuh di tangga ketiga meskipun tewas mengejut kepada Wigan Isnin lalu namun perlu segera bangkit apabila berdepan pasukan tangga keenam, Chelsea (57 mata selepas 33 perlawanan) di gelanggang sendiri esok. - Reuters

No comments:

Post a Comment