Sunday 15 April 2012

Seorang lagi pemain pro mati


ROM - Semua perlawanan dalam saingan Serie A yang dijadual berlangsung semalam dan esok telah ditunda ekoran kematian perancang kelab Livorno, Piermario Morosini.
Terdahulu, pemain yang dipinjamkan dari Udinese itu disahkan meninggal dunia selepas rebah di tengah padang pada babak pertama perlawanan ketika aksi menentang Pescara dalam saingan liga divisyen dua pada Jumaat lalu.
Pemain berusia 25 tahun itu disahkan mati ekoran serangan sakit jantung.
Pengurus Besar Kesatuan Bola Sepak Itali, Antonello Valentini mengesahkan bahawa semua perlawanan yang dijadual berlangsung awal pagi semalam, awal pagi tadi dan awal pagi esok ditunda bagi menghormati kematian Morosini.
Mengulas lanjut mengenai insiden yang membabitkan Morosini itu, pegawai fisioterapi Pescara, Claudio D'Arcangelo berkata, beliau bergegas masuk ke padang selepas mendapati ada sesuatu yang tidak kena sebaik pemain itu rebah.
"Saya berlari masuk dalam padang kerana saya berasa ada sesuatu yang serius berlaku.
"Saya juga tidak menunggu kebenaran daripada pengadil. Saya memberi bantuan urutan di bahagian jantung Morosini dan buat seketika dia masih bernafas tetapi tidak ada apa yang saya boleh lakukan," kata D'Arcangelo.
Morosini telah dibawa ke hospital Civile Santo Spirito di Pescara bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan mati.
Kematian Morosini itu hadir tidak sampai sebulan selepas perancang Bolton Wanderers, Fabrice Muamba turut rebah di tengah padang ekoran serangan sakit jantung ketika aksi suku akhir Piala FA menentang Tottenham Hotspur bulan lalu.
Bagaimanapun, Muamba kini telah disahkan berada dalam keadaan stabil. - AFP
sumber dari berita kosmo hari ini

No comments:

Post a Comment