Sunday 8 April 2012

Messi lakar sejarah lagi

Pemain pertama dalam tempoh hampir 40 tahun jaring 60 gol pada satu musim 

MADRID: Lionel Messi menjadi pemain pertama dalam tempoh hampir 40 tahun menjaringkan 60 gol dalam satu musim pada saingan liga teratas di Eropah selepas cemerlang membantu Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Zaragoza yang beraksi dengan 10 pemain 4-1 kelmarin. Gol ke-23 Messi daripada 12 perlawanan terakhirnya itu membantunya menyamai jumlah 60 jaringan, yang pertama selepas Gerd Muller menjaringkan 67 gol pada musim 1972-73 untuk Bayern Munich.

Dengan berbaki sembilan perlawanan lagi dalam saingan liga dan merebut piala, Messi, 24, mampu untuk mengatasi rekod bekas pemain Jerman itu. 

“Apa yang kami boleh lakukan hanyalah terus bermain dan lihat apa yang bakal berlaku pada baki saingan. Kami sedar ia perlawanan yang bakal sukar berdasarkan cara permainan lawan sejak beberapa bulan kebelakangan dan keadaan padang memburukkan lagi keadaan buat kedua-dua pasukan,” kata jurulatih Barca, Pep Guardiola. 

Kemenangan Barca kelmarin juga membantu juara bertahan itu merapatkan jurang dengan pendahulu, Real Madrid kepada tiga mata dengan skuad bimbingan Jose Mourinho itu berdepan jadual sukar pada bulan ini, bermula perlawanan menentang pasukan tangga ketiga, Valencia semalam. 

Selepas itu Real akan berdepan perlawanan tetangga Madrid menentang Atletico serta pertembungan El Clasico dengan Barca juga bakal menanti. 
Zaragoza yang berada di ambang penyingkiran liga mengambil kelebihan daripada permulaan perlahan Barca dengan Carlos Aranda menanduk masuk untuk meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-30 selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum itu. 

Carles Puyol kembali menyamakan kedudukan untuk Barca enam minit kemudian dan Messi kemudian menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit terakhir setiap babak. Pada masa kecederaan, Messi mencipta peluang untuk Pedro Rodriguez bagi gol keempat Barca. - AFP 






sumber dari berita harian hari ini

No comments:

Post a Comment