Sunday 15 April 2012

Sama garang!


MADRID: Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi masing-masing melakar rekod apabila mengumpul 41 gol dalam La Liga Sepanyol, semalam.
Mulanya, Ronaldo memecahkan rekodnya sendiri musim lalu dengan menjaringkan gol ketika bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan Sporting Gijon 3-1.

Selang beberapa jam kemudian, Messi menyumbat dua gol ketika Barcelona turut bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menundukkan Levante 2-1 ketika juara bertahan itu kekal empat mata di belakang Real dengan pertembungan dinanti-nanti El Clasico hadir hujung minggu ini.
Pada malam yang penuh rekod, gol ketiga Real adalah jaringan ke-107 mereka dalam La Liga musim ini.

Ia meletakkan mereka pada kedudukan sama dengan pasukan Real Madrid kendalian John Toshak pada musim 1989-90 dengan anak buah Jose Mourinho masih ada baki lima perlawanan yang perlu diharungi.

“Rekod ini hadir daripada kerja keras semua pemain yang berusaha dan berhak muncul juara,” kata penolong jurulatih Real, Aitor Karanka.
“Bagi sesiapa yang berkata Jose Mourinho seorang jurulatih yang mengamalkan corak bertahan, anda perlu melihat statistik ini.” Bola yang terkena tangan Sergio Ramos menyaksikan Miguel Angel De la Cuevas meletakkan Sporting di depan menerusi sepakan penalti selepas setengah jam sebelum Gonzalo Higuain menyamakan kedudukan menerusi tandukan selepas 36 minit.

Ronaldo memecah kebuntuan dengan tandukan selepas 73 minit dan berikutan pembuangan padang Roberto Canella kerana dilayangkan kad kuning kedua, Karim Benzema menjaringkan gol ketiga.

Levante mendahului menentang Barcelona menerusi sepakan penalti pada minit ke-23 disempurnakan Jose Barkero.

Namun Messi kemudiannya menyumbat dua gol pada babak kedua dengan gol keduanya, daripada sepakan penalti selepas kekasaran oleh Pedro Botelho terhadap Juan Cuenca, membolehkannya menyamakan kedudukan sebagai pendahulu penjaring gol terbanyak bersama bintang Portugis, Ronaldo dengan 41 gol. - AFP



sumber dari berita metro hari ini

No comments:

Post a Comment