Saturday 7 April 2012

Sentuhan Messi luar biasa


KIRA-KIRA 17 tahun lalu, Lionel Messi menjalani kehidupan seharian tidak seperti kanak-kanak sebaya dengannya.
Messi yang ketika itu berusia 11 tahun mengalami masalah hormon tumbesaran sehingga nasibnya itu mendapat perhatian Pengarah Sukan Barcelona, Carles Rexach.
Menyedari ada sesuatu yang istimewa dalam diri Messi, Rexach mengambil keputusan untuk membiayai kos perubatan anak muda kelahiran Rosario, Argentina itu.
Ternyata keputusan untuk membiayai kos rawatan Messi merupakan satu ‘pelaburan’ yang sangat menguntungkan buat Barcelona.
Hanya lima tahun bersama kelab remaja Argentina, Newell's Old Boys akhirnya Messi berhijrah ke Sepanyol pada tahun 2000.
Kesungguhan Rexach untuk ‘mengikat’ Messi terbukti apabila beliau sanggup menggunakan sapu tangan miliknya untuk mendapatkan tandatangan Messi sebagai ‘kontrak’ menyertai skuad remaja Barcelona.
Selepas tiga musim mewakili skuad remaja Barcelona iaitu pada 2000 hingga 2003, Messi telah dinaikkan ‘pangkat’ untuk menyertai skuad senior The Catalan.
Sepanjang tempoh semusim dengan membuat lapan penampilan bersama skuad Barcelona C, Messi telah merekodkan lapan gol.
Pada 2004, Messi dipilih untuk membarisi skuad Barcelona B. Bersama skuad itu, Messi telah beraksi dalam 22 perlawanan dan menjaringkan lima gol.
Hanya semusim bersama skuad Barcelona B, Messi akhirnya diberi tanggungjawab membarisi skuad utama Barcelona mulai musim 2004.
Messi tidak perlu menunggu lama untuk menunjukkan sentuhan berbisanya bersama skuad utama Barcelona.
Baru lapan musim bersama The Catalan, Messi telah berada di puncak kemasyhuran.
Selain dinobatkan selaku pemain terbaik dunia untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2009, Messi telah melakar sejarah tersendiri bersama Barcelona baru-baru ini.
Pada usia 24 tahun, Messi kini muncul sebagai penjaring terbanyak Barcelona dengan merekodkan 236 gol.
Jumlah jaringan itu sekali gus memadam rekod legenda Barcelona, Cesar Rodriguez yang meledak 232.
Lebih manis, Messi tampil selaku peledak paling berbisa dalam kempen Liga Juara-Juara apabila merekodkan 14 gol dalam tempoh semusim setakat ini.
Sebelum itu, Messi, 24, berkongsi rekod 12 gol dengan Ruud van Nistelrooy ketika penyerang Malaga itu menyarung jersi Manchester United pada musim 2002/03.
Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola berkata, beliau yakin bintang Messi akan terus gah mendominasi arena bola sepak dunia bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Seawal usia 24 tahun, Messi sudah berjaya mencapai tahap yang tertinggi. Tidak mustahil dia mampu memberikan impak kepada sejarah bola sepak di dunia.
“Dia kini sebaris dengan legenda-legenda Barcelona dan saya yakin dia mampu merekodkan jaringan dengan lebih banyak dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujar Guardiola.
Kelibat Messi bukan sahaja mendapat perhatian daripada Guardiola, malah kehebatannya turut mendapat sanjungan pengurus Arsenal, Arsene Wenger.
Wenger mengakui aksi lincah Messi di tengah padang bagaikan ada seseorang mengawal permainan video PlayStation2.
Wenger berkata demikian selepas menyaksikan persembahan luar biasa Messi apabila dia menjaringkan empat gol ketika menentang The Gunners pada aksi Liga Juara-Juara 2010.
“Sukar untuk dipercayai apabila dia (Messi) menjaringkan empat gol. Aksi, kelajuan, ketepatan dan kelincahan Messi seperti seseorang mengawal permainan video PlayStation2.
“Messi wajar dijulang sebagai pemain terbaik dunia,” akui Wenger yang menyifatkan Messi sebagai pemain yang cukup sempurna.
Bagaimanapun, kehebatan Messi bersama Barcelona, tidak dapat diulangi ketika dia menyarung jersi skuad kebangsaan Argentina.
Bersama Argentina, gaya permainan Messi dilihat hambar sehingga dia mendapat kritikan pedas daripada peminat bola sepak di negara itu.
Bagaimanapun, di sebalik kritikan tersebut, bekas jurulatih Argentina, Diego Maradonna tetap mempertahankan Messi biarpun bintang Barcelona itu dianggap sebagai punca Argentina tewas 0-4 kepada Jerman pada aksi suku akhir kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
“Walaupun Lionel gagal beraksi baik dengan Argentina tetapi dia masih pemain terbaik di dunia ketika ini, itu tidak boleh disangkal lagi,” tegas Maradona yang membimbing Argentina pada 2008 hingga 2010.
Nasib malang Messi bersama Argentina tidak terhenti di situ sahaja apabila dia sekali lagi menerima tamparan hebat selepas Argentina gagal menjulang Piala Copa America 2011 biarpun mereka tampil selaku tuan rumah.
“Persembahan Messi bersama Barcelona tidak sama sebagaimana dia beraksi bersama Argentina. Adakah pemain-pemain Argentina tidak memiliki kualiti sebagaimana pemain-pemain Barcelona?
“Perjalanan Messi masih jauh dan dia perlu bersaing dengan pemain-pemain muda hebat seperti Neymar yang beraksi dengan Santos kerana seawal usia 17 tahun, Neymar dilihat mampu memadam rekod Messi pada masa akan datang,” ujar legenda Brazil, Pele.
Neymar kini merekodkan 40 gol dalam 85 penampilan bersama kelab Brazil, Santos.
Di peringkat antarabangsa, Neymar telah menjaringkan lapan gol dalam 16 perlawanan bersama skuad senior Brazil. – Agensi

sumber dari berita kosmo hari ini.....

No comments:

Post a Comment